Kepentingan Koheren & Kohesi Artikel


TIP #5: Koheren & Kohesi Artikel

Adakah anda masih ingat berkenaan koheren dan kohesi yang dipelajari ketika berada di bangku sekolah dahulu? 

Jika anda sudah lupakan topik ini, anda perlu ingatkannya kembali kerana tip kelima ini diperlukan dalam membuat penyeragaman isi artikel.



Apakah koheren? Koheren bermaksud wujud kesinambungan antara satu ayat dengan ayat yang lain dalam sesebuah artikel supaya mudah difahami (dipetik dari Kamus Dewan Edisi Ketiga).

Apakah pula kohesi? Kohesi bermaksud wujud kekuatan atau kaitan melalui tarikan di antara satu ayat dengan ayat yang lain supaya bergabung (dipetik dari Kamus Dewan Edisi Ketiga).

Jika digabungkan kedua-duanya: Koheren dan kohesi dalam penulisan artikel bermaksud kesemua idea dalam setiap tulisan menyokong antara satu sama lain dan melaluinya akan memudahkan lagi pembaca untuk lebih faham tentang sesuatu perkara. 

Jika koheren dan kohesi tidak diaplikasikan, sudah tentu tulisan anda akan berterabur dan sukar untuk difahami oleh pembaca. Kesannya, kredibiliti anda sebagai penulis akan sedikit tercalar. Tentu anda tidak mahu perkara ini berlaku bukan? 

Untuk menulis dengan koheren dan kohesi, anda perlu membuat draf artikel terlebih dahulu. Saya mewujudkan koheren dan kohesi ini dengan membuat peta minda. Saya akan susun isi artikel mengikut turutan dan kembangkannya sedikit demi sedikit, supaya tulisan saya nanti lebih kemas dan teratur.

Caranya mudah sahaja, anda cuma perlu berbuat seperti ini:

1.    Jika tajuk artikel anda bertajuk ’10 Kaedah Paling Efektif Buat Duit’, amalkan penggunaan perkatan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

2.    Jika artikel anda mempunyai contoh-contoh yang ingin digunakan, gunakanlah perkataan seperti contohnya, tambahan pula, contoh lain adalah, dan juga, dan lain-lain yang dirasakan sesuai.

Saya membina peta minda yang penuh dahulu kemudian baru saya tulis dengan lengkap. Mengapa saya pilih peta minda sebagai medium untuk koheren dan kohesi? Sudah tentu disebabkan saya dapat jimatkan masa untuk menulis, ayat saya lebih tersusun dan objektif utama untuk artikel ini tidak tersasar.

Oleh itu, ciptalah koheren dan kohesi dalam penulisan anda. Juga, apabila pembaca mudah faham perkara yang anda cuba sampaikan, mereka pasti kagum dengan tulisan anda.