Tip Menulis Isi Kandungan Artikel

TIP #4: Isi Kandungan Artikel

Selepas anda memberi penekanan terhadap tajuk artikel, perkara kedua yang penting dalam penulisan artikel adalah isi kandungan. Di sinilah terletaknya ‘content is king ’ itu. Pada pendapat saya, sebanyak 90% pembaca akan membaca artikel anda yang lain jika isi artikel pertama yang dibaca sangat membantu dan bermutu. Oleh itu, tulislah isi artikel anda dengan penuh berinformasi dan bersahaja.


Pecahkan isi artikel anda kepada TIGA bahagian:

1.    Perenggan pengenalan topik – Pada perenggan ini, anda perkenalkan topik yang ingin disampaikan. Jika terdapat pengertian yang perlu dimasukkan, berikan pengertian tersebut di sini. 

2.    Perenggan sokongan topik – Untuk perenggan ini, berikan isi tersirat bagi menyokong ayat anda pada perenggan pengenalan.  

3.    Perenggan kesimpulan topik – Akhir sekali, rumuskan topik yang anda tuliskan. Nyatakan sama ada topik yang disampaikan bagus atau berjaya atau gagal dan lain-lain. 

Isi artikel haruslah relevan dengan tajuk artikel anda. Isi artikel juga mestilah memberi jawapan kepada tajuk artikel yang diberi. Jika artikel anda bertajuk ‘Cara Mudah Buat Duit Di Internet’, anda harus senaraikan sebanyak mungkin cara buat di internet itu. Manakala, jika artikel anda bertajuk ‘Lima Cara Mudah Duit Di internet’, anda sepatutnya berikan lima idea sahaja cara buat duit itu. Jawab tajuk artikel supaya tujuan anda tidak tersasar dan penulisan anda juga tidak terpesong.

Sekiranya tajuk anda menjanjikan sesuatu yang mudah seperti contoh di atas, berikan cara mudah sahaja. Jangan diterangkan atau sebutkan cara kompleks dan sukar dalam artikel anda. Jika anda berikan juga cara kompleks dan sukar itu:

Pertama: Anda sudah tersasar dari tajuk artikel dan penulisan anda sudah tidak berfokus lagi.

Kedua: Pada masa akan datang, pembaca tidak akan merujuk artikel anda lagi berkaitan perkara yang dibincangkan. Mereka mungkin akan menganggap anda penipu. Ini kerana, anda tidak tunaikan janji berdasarkan tajuk artikel yang diberikan.  

Dalam penulisan artikel juga, tulislah seolah-olah anda sedang bercakap. Bayangkan anda sedang memberi ceramah atau ucapan di depan orang ramai, kemudian terjemahkan percakapan anda dalam bentuk tulisan. Biarkan isi artikel yang bercakap untuk anda.

Walaupun anda menulis mengikut percakapan yang dilontarkan, jangan dilupakan hal-hal remeh berkaitan tatabahasa. Saya tahu, anda ingin bercakap melalui artikel yang ditulis. Tetapi, janganlah terlalu ghairah sehingga merosakkan pula tatabahasa. Jangan dikusutkan pemikiran pembaca dengan mengabaikan tatabahasa.

Oleh itu, jagalah tatabahasa dalam penulisan. Kredibiliti anda sebagai penulis pasti akan diangkat oleh para pembaca jika anda menjaga tatabahasa dalam penulisan.